Alhamdulillah hari ini diberi kesempatan untuk berkongsi mengenai Faktor-Faktor yang Mempengaruhi Perkembangan Bahasa. Apa yang akan mama kongsikan adalah berkaitan dengan perkembangan bahasa kanak-kanak ye.. :) Berikut merupakan antara faktor yang mempengaruhi perkembangan bahasa di kalangan kanak-kanak
- Keadaan anak berasa kurang penting untuk berkomunikasi. Kanak-kanak yang semua kehendaknya telah dipenuhi sebelum dia meminta tidak rasa dia perlu 'meminta' atau memberitahu orang apa yang diperlukannya. Oleh itu, ibubapa atau orang dewasa digalakkan untuk mereka/menunggu atau mencipta keadaan di mana anak perlu meminta baru dia akan dapat. Bukan mendera ye.. Ada tekniknya agar anak tidak tertekan..
- Masalah perubatan. Anak-anak yang dilahirkan pra-matang atau menghabiskan masa yang lama di hospital pada masa kecil mempunyai risiko perkembangan bahasa yang lambat. Selain itu, masalah perubatan yang lainnya juga seperti Cerebral Palsy, Down Syndrome juga merupakan antara faktor anak-anak mempunyai perkembangan bahasa yang lambat.
- Kurang pendengaran. Ini berlaku samada kurang pendengaran total atau sebahagian. Pendengaran yang baik akan membantu penerimaan rangsangan bahasa yang baik sekaligus mempengaruhi perkembangan bahasa yang baik. Sekiranya anak anda mempunyai telinga berair atau bernanah, segeralah bawa berjumpa doktor pakar telinga. Anda perlu berhati-hati juga kerana terdapat beberapa ubat telinga yang boleh menyebabkan hilang pendengaran.
- Kekurangan rangsangan bahasa. Sebahagian anak-anak mampu untuk berbahasa dengan baik tanpa rangsangan secara spesifik tetapi ada kanak-kanak yang perlu rangsangan secara spesifik. Lain anak, lain caranya, lain ragamnya. Tak gitu? :)
- Perkembangan keseluruhan yang lewat (Delayed General Development/Global Developmental Delay). Berikan perhatian yang lebih serius sekiranya anak anda mempunyai perkembangan motor kasar dan motor halus yang lambat.
- Faktor emosi. Anak-anak yang dikelilingi suasana/persekitaran penuh dengan pelbagai emosi, terutamanya emosi yang negatif akan mempunyai risiko terhadap perkembangan bahasa. Seorang kanak-kanak yang diselamatkan dari penderaan mungkin dilihat tidak pandai bercakap di hospital. Ini berlaku disebabkan kesan penderaan tersebut.
- Sukar memberi tumpuan (Short Attention Span). Kesukaran memberi tumpuan ini memerlukan rawatan yang holistik. Dapatkan bantuan dari profesional yang lain juga seperti, Pakar Perkembangan Kanak-kanak (Developmental Paediatrician), Terapis Cara-kerja (Occupational Therapist) dan lain-lain.
- Sejarah ahli keluarga yang mempunyai kesukaran berbahasa atau perkembangan bahasa yang lambat.
- Lain-lain faktor.
Bagi ibu-bapa yang merasakan anak anda mempunyai faktor risiko seperti di atas, berilah tumpuan yang lebih serius kepada perkembangan anak anda. Anak kita, tanggungjawab kita.:)
Lots of luv,
Mama Maryam
No comments:
Post a Comment